to date

Free JavaScripts provided
by The JavaScript Source

Fadhilat Selawat


Selawat Azamiah - salah satu daripada Selawat Nabi

Selawat Nabi S.A.W Fadhilat & Khasiatnya

Pengertian Selawat

Selawat adalah jamak dari kalimat solat .Selawat menurut bahasa ertinya ialah doa , rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat .

Dalam kitab suci Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-nya selawat kepada Nabi . Hai orang² yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya .” ( Surah Al-Ahzab:ayat 56 )

Selawat kepada nabi terdiri dari tiga tingkatan :

  • Selawat Allah kepada Nabi dan Rasulnya , istimewa kepada Nabi Muhammad S.A.W. bererti Allah memberi rahmat , memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad S.A.W kepadanya .
  • Selawat para Malaikat kepada para Nabi dan Rasul dan Nabi Muhammad S.A.W , bererti malaikat² mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan .
  • Selawat manusia kepada Nabi Muhammad S.A.W , bererti mengakui kerasulannya ,memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya.
Hukum Membaca Selawat

Para ulamak telah memberi berbagai pendapat tentang hokum membaca selawat ke atas Nabi S.A.W diantaranya:

  • Imam Syafie mengatakan, selawat itu wajib dibacakan dlm tasyahud akhir, iaitu di antara tasyahud (tahiyyat) dan salam .
  • Imam Asy-Sya’bi berpendapat, selawat wajib dibaca dalam solat dalam kedu-dua tasyhud awal dan akhir.
  • Abu Jaafar Al-Baqir mengatakan, selawat wajib dibaca di dalam solat sama ada dlm tasyahud awal atau akhir.

  • Abu Bakar ibnu Al-Baqir berpendapat, selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya.

  • Abu Bakar Ar-Razi & Ibnu Hazmin berpendapat , berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali.

  • At-Thahawi berpendapat, selawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad S.A.W
  • Az-Zamakhsyari berpendapat, selawat wajib dibaca pada tiap² sesuatu majlis .
  • Ibnu Jarir At-Thabari berpendapat, berselawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai sahaja .
  • Ibnu Qashshar berpendapat, berselawat kpd Nabi adalah suatu ibadah wajib

Kesimpulannya , membaca selawat ke atas Nabi S.A.W adalah suatu amaliah dan ibadah yang terpuji yang amat disukai Allah dan para malaikat-nya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi S.A.W.

Dalil-dalil Hadis Tentang Selawat

  • Sabda Nabi S.A.W “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” ( Hadis Riwayat At-Trimidzi )
  • Sabda Nabi s.a.w : “ Berselawat atas para Nabi Allah dan utusan-Nya sebagaimana kamu berselawat kepadaku kerana mereka itu sama diutuskan sebagaimana aku diutus . “ (Hadis Riwayat Ahmad & Al-Khatib )
  • Sabda Nabi s.a.w : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada. “ (Hadis Riwayat Abu Daud )
  • Sabda Nabi s.a.w : “ Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima ruhku sehingga aku menjawab salam kepadanya.“          (Hadis Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan dari hadis², jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan . Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi, Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin .

Waktu-Waktu berselawat

Terdapat banyak hadis yang menerangkan mengenai tempat² dan waktu² yang dituntut supaya kaum Muslimin membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. Diantaranya :

  • Ketika hendak masuk ke dalam masjid dan ketika hendak keluar darinya Nabi s.aw bersabda : “ Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid, maka hendaklah ia membaca salam kepadaku ( selawat dan salam ) .Sesudah itu berdoa : Wahai Tuhanku , bukakanlah untukku segala pintu rahmat-Mu. Dan apabila ia hendak keluar hendaklah berdoa : Wahai Tuhanku , aku memohon kepadamu limpahan rahmat-Mu .”                       ( Hadis Riwayat Abu Daud )
    • Ibnu Sunni menceritakan bahawa apabila Rasulullah s.a.w masuk dari masjid beliau membaca selawat  yang bermaksud “ Dengan Nama Allah, selawatlah keatas Muhammad “
  • Sesudah Azan . Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “ Apabila kamu mendengar mu’azzin yang menyerukan azan, maka jawablah dengan bacaan yang sama ia baca. Setelah selesai maka berselawatlah kamu kepadaku.”                                                 (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim 
  • Sesudah membaca tasyahud akhir dalam sembahyang .
  • Di dalam sembahyang jenazah . Menurut Imam Syafi’e dalam Al-Musnad : “ Sunnah Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan sembahyang jenazah adalah bertakbir pada permulaannya , setelah itu ia membaca fatihah lalu takbir kedua dan sesudahnya membaca selawat dan kemudian bertakbir lagi kali ketiga.”
  • Diantara takbir-takbir sembahyang sunat hari raya . Berkata sebahagian ulamak adalah lebih baik jika membaca selawat mengiringi takbir hari raya seperti yang bermaksud “ Maha suci Allah segala puji dan sanjungan bagi Allah jua . Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Besar. Ya Allah , muliakan olehmu Nabi Muhammad dan keluarganya. Ya Allah ampuni aku dan berilah rahmat kepadaku. “
  • Di permulaan dan akhir doa . Nabi bersabda : “ Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi . tiada naik , barang sedikit jua daripadanya sehingga kamu berselawat kepada Nabimu. “   ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )
  • Di akhir qunut dalam sembahyang . Diriwayatkan oleh An-Nasai bahawa disukai seseorang mengakhiri qunut dengan membaca selawat yg bermaksud “  Dan mudah-mudahan Allah melimpahkan selawat (rahmat) atas Muhammad . “
  • Di malam dan di hari Jumaat. Sabda Nabi s.a.w yg bermaksud “ Banyakkanlah olehmu membaca selawat di malam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dikemukakan kepadaku. “  ( Hadis Riwayat Thabarani )
  • Di dalam khutbah Jumaat . Dalam mazhab Syafi’e para khatib wajib membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w pada permulaan kutbah , sesudah membaca thamid dan juga sebelum akhir khutbah Jumaat .
  • Ketika berziarah di makam atau kubur Nabi Muhammad s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ Tidak seorang pun di antara kamu yang memberi salamnya iaitu di sisi kuburku , melainkan Allah mengembalikan kepadaku ruhku untuk menjawab salamnya. “                   ( Hadis Riwayat Abu Daud )
  • Sesudah bertalbiah . Sabda Nabi s.a.w: “ Memang disuruh seseorang membaca selawat untuk Nabi ketika ia telah selesai talbiahnya dalam segala keadaan . “( Hadis Riwayat Syafi’i & Daraquthni )
  • Ketika setiap mengadakan majlis atau keramaian . Sabda Nabi s.a.w: “ Tiadalah duduk suatu kaum di dalam sesuatu majlis sedang mereka telah menyebut (mengingati) Allah Taala dan tiada berselawat ke atas Nabinya, melainkan menderita nescaya Allah akan menyeksa mereka dan jika Allah menghendaki nescaya akan mengampuni mereka .”                                              ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi & Abu Daud )
  • Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesame Islam . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang telah lalu ataupun yang akan datang. “    ( Hadis riwayat Ibnu Sunni )
  • Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting . Sabda Nabi s.a.w : “ Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang barkahnya . “                                 ( Hadis Riwayat Ar-Rahawi )
  • Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya. “   ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )
  • Ketika telinga berdengung . Sabda Nabi s.a.w : “ Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung , maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku. “                                    ( Hadis Riwayat Ibnu Sunni )

  • Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan . Diberitakan oleh Ubay bin Kaab bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah , ujurnya : “ Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu.“ ( Hadis Riwayat Ahmad )
  • Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi s.a.w : “ Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat . “  ( Hadis Riwayat Thabarani ) 
KEUTAMAAN SELAWAT

A. Kepentingan Selawat

Sebagaimana yang diterangkan mengikut dalil -dalil hadis, bahawa selawat kepada Nabi s.a.w adalah merupakan satu ibadah yang mulia dan amalan yang terpuji. Oleh itu kaum Muslimin sangat dianjurkan agar sentiasa membawa selawat kepada Nabi s.a.w dengan penuh keimanan dan keikhlasan, kerana ianya mempunyai keutamaan dan fadhilat yang amat besar.

Nabi s.a.w adalah seorang Nabi dan Rasul Allah yang mempunyai keutamaan , kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah dengan memiliki sifat-sifat kemulian dan keagungan yang sempurna berbanding dengan para Nabi dan Rasul Allah yang lain.

Firman Allah yang bermaksud: “ Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung (mulia).”  ( Surah Al-Qalam: ayat 4 )

Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi . Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. “ (Al-Ahzab: ayat 56)

Allah s.w.t yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang telah memperlihatkan betapa kasih dan sayang-Nya kepada Nabi s.a.w dengan berselawat kepadanya sebagai pujian-Nya dan memuliakan serta mengutamakan Nabi s.a.w di hadapan para malaikat-Nya .

Para malaikat juga turut melahirkan keutamaan ke atas Nabi s.a.w dengan mendoakan , mengucap selawat dan memohon keampunan baginya . kaum Muslimin sebagai umat Nabi s.a.w berkewajipan melahirkan rasa kasih , pujian , sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepada beliau , kerana kedudukan dan kemuliannya melebihi para Nabi dan Rasul a.s dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam sebagai memperkuatkan iman serta berpegang teguh kepada sunnah dan mengamalkan segala ajarannya sebagai pedoman hidup .

Sabda Nabi s.a.w : “ Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada ia mencintai anaknya , orang tuanya dan manusia semuanya .”
( Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi , Nasai dan Ibnu Majah )

Dengan membaca selawat kepada Nabi s.a.w , setiap doa dan amalan-amalan yang lain akan diterima oleh Allah . Jesteru itu selawat memainkan peranan penting dalam segala amalan hidup kerana ianya dapat mempengaruhi keberkatan dalam hidup manusia yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya .

Sabda Nabi s.a.w : “ Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi s.a.w”   ( Hadis Riwayat Ad-Dailami )

Berselawat kepada Nabi s.a.w bererti memperbesarkan dan mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh ala mini , malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah s.w. t.

Dengan melazimi berselawat kepada Nabi s.a.w , insya Allah kaum muslimin tergolong sebagai orang² yang akan mendapat keistimewaan dan mempunyai kedudukan yang terdekat dengan Nabi s.a.w bersama-sama para sahabatnya pada hari kiamat kelak .

Sabda Nabi s.a.w “ Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku.”
( Hadis riwayat An-Nasai & Ibnu Hibban )

B. Kelebihan Selawat

Selawat kepada Nabi s.a.w adalah merupakan ibadah yang mulia dan terpuji , mengandung berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Nabi s.a.w serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak . Diantara kelebihan selawat adalah seperti berikut :

  • Mendapat Syafaat Nabi s.a.w
    • Sabda Nabi s.a.w “ Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali , ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat .” ( Hadis Riwayat Thabarani )
    • Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berziarah kekuburku maka baginya wajib menerima syafaatku .” ( Hadis Riwayat Ibnu Adi & Al Baihaqi ) 
  • Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi s.a.w
    • Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya , barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh maka selawat itu diserahkan oleh malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya .’’                  ( Hadis Riwayat Al-Baihaqi dan Al- Khatib ) 
  • Mendapat keampunan dosa dari Allah .
  • Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali , maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Hadis Riwayat Ahmad,Nasai & Al-Hakim )
  • Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat , maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun .” ( Hadis Riwayat Ad-Dailami )
  • Sabda Nabi s.a.w dari Ubai bin Ka’ab : “ Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyak selawat , maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda : Apa yang kamu kehendaki.Ia berkata : kataku :” Seperempat” . Sabda Nabi : “ Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu”. Kataku: “ Apakah sepertiga”? Sabda Nabi : “ apa yang kamu sukai,jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” Ia bertanya: “ Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “ Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.”  ( Hadis Riwayat Ahmad,Tirmidzi & al-Hakim )
  • Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari umatku , maka dicatat baginya sepuluh kebaikan dan dihapuskan darinya sepuluh dosa .”                ( Hadis Riwayat Ibnu Hibban ) 
  • Sabda Nabi s.a.w : “Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku Azzawajalla maka dia (Jibril) berkata : Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari muatmu,Allah s.w.t mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya.”    ( Hadis Riwayat Ahmad )
  • Sabda Nabi s.a.w “ Berselawatlah kamu kepadaku , kerana selawat itu menjadi zakat          ( penghening jiwa pembersih dosa ) bagimu .” ( Hadis Riwayat Ibnu Murdawaih )
  • Mendapat Rahmat dari Allah .
  • Sabda Nabi s.a.w “  Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali , maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” ( Hadis Riwayat Muslim )
  • Sabda Nabi s.a.w “  Barangsiapa berselawat kepadaku di hari Jumaat seratus kali maka ia datang di hari Kiamat dengan cahaya , sekiranya dibahagi antara makhluk semuanya maka cahaya itu akan memenuhinya .” ( Hadis Riwayat Abu Nu’aim ) 
  • Mendapat hajat dunia dan akhirat 
  • Sabda Nabi s.a.w “  Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali , maka Allah datangkan baginya seratus hajat , tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk di dunianya.”  ( Hadis Riwayat Ibnu Majar dari Jabir r.a )
  • Digembirakan dengan syurga .
  • Sabda Nabi s.a.w “  Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali , maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga .”                                             ( H. Riwayat Abus Syaikh dari Anas r.a ) 
  • Sesungguhnya amat beruntunglah orang² yang sentiasa berselawat ke atas Nabi dengan menjadikannya sebagai wirid dan amalan harian dalam hidupnya . Sebaliknya amatlah rugi dan tercelanya orang² yang tidak mahu membaca selawat kepada Nabi dalam hidupnya . 
  • Sabda Nabi s.a.w “ Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku .”  ( Hadis Riwayat Tirmidzi )
  • Sabda Nabi s.a.w “ Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.”  ( Hadis Riwayat Tirmidzi )

Wallahu’alam.

Sumber: hadith selawatnet

Mengasihi dan Mencintai Rasulullah


Sesungguhnya Allah dan malaikaNya berselawat (memeberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Nabi Muhammad s.a.w). wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. Surah Al Ahzab ayat 56.

Setiap umat Islam berkewajipan mengasihi dan mencintai rasulullah s.a.w. dengan menjalani kehidupan berdasarkan sunnah rasulullah s.a.w. umat islam kini memang ramai mengakui beriman kepada Allah subhanahuwata’ala dan mengasihi rasulullah, tetapi sejauh manakah kebenaran pengakuan itu, jika terus enggan mengerjakan suruhan-suruhan Allah subhanahuwata’ala dan berselawat kepada rasulullah s.a.w.?

Berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w adalah salah satu bukti kecintaan seseorang kepada Allah subhanahuwata’ala dan rasul s.a.w. Ia tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat islam. Ini sesuai dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai fadhilat disisi Allah.

Selawat itu kata jama’ dari kalimah solat, dari segi bahasa pula, ia bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkat dan ibadah. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. bererti memuliakan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya, disamping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini.

Selawat kepad nabi Muhammad s.a.w. merupakan ibadat yang mulia dan terpuji. Ia mengandungi pelbagai kelebihan dan mendapat syufa’at dari nabi Muhammad s.a.w. serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.

Selain dari itu, terdapat beberapa hadith yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas rasulullah s.a.w. di antaranya:

1.         Allah berselawat sepuluh kali keatas mereka yang selawat kepada nabi dengan hanya satu kali selawat. “Sesiapa yang selawat kepadaku satu kali,Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali” hadith riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Nasaii.
2.         Dicatat baginya sepuluh kebaikan. “Sesiapa yang berselawat keatasku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan” Hadith riwayat Abu Hurairah.
3.         Dihapuskan sepuluh keburukan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat kemuliaan. Hadith riwayat Abi Tolahah al Ansori, mafhumnya: Pada suatu hari, rasulullah berada dalam keadaan yang sangat ceria, jelas terpapar pada wajahnya kegembiraan, maka para sahabat bertanya: “Wahai rasulullah, pada hari ini engkau dalam keadaan yang sangat ceria, jelas dapat dilihat kegembiraan pada wajahmu?” Baginda menjawab, “Benar, telah datang kepadaku melaikat dari tuhanku, ia berkata: Sesiapa yang berselawat kepadamu dari umatmu satu kali, nescaya Allah mencatat baginya sepuluh kebaikan, menghapus darinya sepuluh keburukan (dosa), mengangkat baginya sepuluh darjat atau kemuliaan dan membalas kepadanya sebagaimana selawat tersebut”. Hadith riwayat Ahmad.
4.         Dapat bersama Nabi di hari qiamat. “Sesungguhnya orang paling aula bersamaku di hari qiamat, adalah orang yang banyak berselawat kepadaku” Hadith riwayat Tarmizi dan Ibnu Hiban.
5.         Orang yang selawat kepada nabi s.a.w. mendapat doa atau selawat daripada para melaikat. “Tidaklah seorang hamba berselawat kepadaku melaikan para melaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawat samada sedikit atau banyak”. Hadith riwayat Tabrani.
6.         Keutamaan selawat pada hari Juma’at. “Banyakkanlah selawat keatasku pada setiap hari Juma’at, kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Juma’at. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya keatasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku”. Hadith riwayat Baihaqi.
7.         Mendapat syufa’at nabi s.a.w. di hari qiamat. “Sesiapa berselawat kepadaku atau memohon wasilat (tempat istimewa dalam syurga) untukku, nescaya dia berhak mendapat syufa’atku pada hari qiamat”. Hadith riwayat, Ismail bin Ishak drp Abdullah bin Omar.
8.         Setiap majlis yang di dalamnya disebut dengan selawat, akan mengelakkan penyesalan di hari Qiamat. “Tidaklah satu-satu kaum yang berada di dalam sesuatu majlis, di mana mereka tidak menyebut nama Allah padanya dan tidak pula berselawat keatas nabi mereka, melainkan majlis tersebut merupakan kesedihan, dukacita dan penyesalan. Sekiranya Dia menghendakki mereka akan diazab dan sekiranya Dia mahu, mereka akan diampuni”. Hadith riwayat Tarmizi.

Sesungguhnya Allah yang menjadikan ‘ibadat selawat dan salam keatas nabi Muhammad s.a.w. itu sebahagian daripada jalan untuk kita bertaqarrub kepada Allah. Malah selawat itu merupakan salah satu rukun sembahyang (solat) sepertimana terdapat pada tahyat akhir dan khutbah juma’at. Ada ulama’ mengatakan bahawa doa tidak mustajab tanpa didahulukan dengan selawat.

Justeru itu, marilah kita sentiasa berselawat kepada baginda rasulullah s.a.w. yang akan menjadi bukti kecintaan kita kepada baginda.

Aisyah radhiallahu anha menceritakan: “ Sedang aku menjahit baju pada waktu sahur, maka terjatuhlah jarum daripada tanganku, tiba-tiba lampu terpadam, lalu masuklah rasulullah s.a.w. , ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana cahaya wajahnya, lalu aku berkata, wahai rasulullah, alangkah bercahayanya wajahmu! Seterusnya aku bertanya: Siapakah yang tidak melihatmu pada hari qiamat? Jawab rasulullah, ‘ Orang yang bakhil’. Aku bertanya lagi, siapakah yang bakhil itu? Jawab baginda, ‘Orang yang ketika disebut namaku didepanya, dia tidak mengucap selawat keatasku’.

Dalam hadith yang lain, “Segala doa itu terdinding daripada langit sehingga orang yang berdoa itu mengucapkan selawat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad” Hadith riwayat Baihaqi dan Tabrani.

Catatan dari Khutbah Jumaat Masjid Sultan Ismail