to date

Free JavaScripts provided
by The JavaScript Source

Mengasihi dan Mencintai Rasulullah


Sesungguhnya Allah dan malaikaNya berselawat (memeberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Nabi Muhammad s.a.w). wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. Surah Al Ahzab ayat 56.

Setiap umat Islam berkewajipan mengasihi dan mencintai rasulullah s.a.w. dengan menjalani kehidupan berdasarkan sunnah rasulullah s.a.w. umat islam kini memang ramai mengakui beriman kepada Allah subhanahuwata’ala dan mengasihi rasulullah, tetapi sejauh manakah kebenaran pengakuan itu, jika terus enggan mengerjakan suruhan-suruhan Allah subhanahuwata’ala dan berselawat kepada rasulullah s.a.w.?

Berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w adalah salah satu bukti kecintaan seseorang kepada Allah subhanahuwata’ala dan rasul s.a.w. Ia tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat islam. Ini sesuai dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai fadhilat disisi Allah.

Selawat itu kata jama’ dari kalimah solat, dari segi bahasa pula, ia bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkat dan ibadah. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada nabi Muhammad s.a.w. bererti memuliakan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya, disamping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini.

Selawat kepad nabi Muhammad s.a.w. merupakan ibadat yang mulia dan terpuji. Ia mengandungi pelbagai kelebihan dan mendapat syufa’at dari nabi Muhammad s.a.w. serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.

Selain dari itu, terdapat beberapa hadith yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas rasulullah s.a.w. di antaranya:

1.         Allah berselawat sepuluh kali keatas mereka yang selawat kepada nabi dengan hanya satu kali selawat. “Sesiapa yang selawat kepadaku satu kali,Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali” hadith riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Nasaii.
2.         Dicatat baginya sepuluh kebaikan. “Sesiapa yang berselawat keatasku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan” Hadith riwayat Abu Hurairah.
3.         Dihapuskan sepuluh keburukan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat kemuliaan. Hadith riwayat Abi Tolahah al Ansori, mafhumnya: Pada suatu hari, rasulullah berada dalam keadaan yang sangat ceria, jelas terpapar pada wajahnya kegembiraan, maka para sahabat bertanya: “Wahai rasulullah, pada hari ini engkau dalam keadaan yang sangat ceria, jelas dapat dilihat kegembiraan pada wajahmu?” Baginda menjawab, “Benar, telah datang kepadaku melaikat dari tuhanku, ia berkata: Sesiapa yang berselawat kepadamu dari umatmu satu kali, nescaya Allah mencatat baginya sepuluh kebaikan, menghapus darinya sepuluh keburukan (dosa), mengangkat baginya sepuluh darjat atau kemuliaan dan membalas kepadanya sebagaimana selawat tersebut”. Hadith riwayat Ahmad.
4.         Dapat bersama Nabi di hari qiamat. “Sesungguhnya orang paling aula bersamaku di hari qiamat, adalah orang yang banyak berselawat kepadaku” Hadith riwayat Tarmizi dan Ibnu Hiban.
5.         Orang yang selawat kepada nabi s.a.w. mendapat doa atau selawat daripada para melaikat. “Tidaklah seorang hamba berselawat kepadaku melaikan para melaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawat samada sedikit atau banyak”. Hadith riwayat Tabrani.
6.         Keutamaan selawat pada hari Juma’at. “Banyakkanlah selawat keatasku pada setiap hari Juma’at, kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Juma’at. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya keatasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku”. Hadith riwayat Baihaqi.
7.         Mendapat syufa’at nabi s.a.w. di hari qiamat. “Sesiapa berselawat kepadaku atau memohon wasilat (tempat istimewa dalam syurga) untukku, nescaya dia berhak mendapat syufa’atku pada hari qiamat”. Hadith riwayat, Ismail bin Ishak drp Abdullah bin Omar.
8.         Setiap majlis yang di dalamnya disebut dengan selawat, akan mengelakkan penyesalan di hari Qiamat. “Tidaklah satu-satu kaum yang berada di dalam sesuatu majlis, di mana mereka tidak menyebut nama Allah padanya dan tidak pula berselawat keatas nabi mereka, melainkan majlis tersebut merupakan kesedihan, dukacita dan penyesalan. Sekiranya Dia menghendakki mereka akan diazab dan sekiranya Dia mahu, mereka akan diampuni”. Hadith riwayat Tarmizi.

Sesungguhnya Allah yang menjadikan ‘ibadat selawat dan salam keatas nabi Muhammad s.a.w. itu sebahagian daripada jalan untuk kita bertaqarrub kepada Allah. Malah selawat itu merupakan salah satu rukun sembahyang (solat) sepertimana terdapat pada tahyat akhir dan khutbah juma’at. Ada ulama’ mengatakan bahawa doa tidak mustajab tanpa didahulukan dengan selawat.

Justeru itu, marilah kita sentiasa berselawat kepada baginda rasulullah s.a.w. yang akan menjadi bukti kecintaan kita kepada baginda.

Aisyah radhiallahu anha menceritakan: “ Sedang aku menjahit baju pada waktu sahur, maka terjatuhlah jarum daripada tanganku, tiba-tiba lampu terpadam, lalu masuklah rasulullah s.a.w. , ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana cahaya wajahnya, lalu aku berkata, wahai rasulullah, alangkah bercahayanya wajahmu! Seterusnya aku bertanya: Siapakah yang tidak melihatmu pada hari qiamat? Jawab rasulullah, ‘ Orang yang bakhil’. Aku bertanya lagi, siapakah yang bakhil itu? Jawab baginda, ‘Orang yang ketika disebut namaku didepanya, dia tidak mengucap selawat keatasku’.

Dalam hadith yang lain, “Segala doa itu terdinding daripada langit sehingga orang yang berdoa itu mengucapkan selawat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad” Hadith riwayat Baihaqi dan Tabrani.

Catatan dari Khutbah Jumaat Masjid Sultan Ismail