to date

Free JavaScripts provided
by The JavaScript Source

BILA HATI TERSENTUH

oleh, t.m.rahman

Sebut saja Si Tanggang di Malaysia, Nakhoda Manis di Brunei dan Malin Kundang di Indonesia adalah sinonim dengan cerita-cerita anak derhaka kepada ibubapa. Kedua-duanya adalah cerita kelasik yang dikisahkan sejak turun-temurun dalam masyarakat kita. Hingga kini cerita-cerita begini masih lagi kedengaran bahkan diolah semula dalam berbagai bentuk media, seperti filem, video, drama tv, radio, muzik, nyanyian, pentas dan sebagainya.

Beberapa syarikat produksi television telah menerbit semula cerita-cerita tersebut dalam bentuk moden dengan aliran ceritanya hampir sama. Pada akhirnya, anak derhaka kepada ibubapa akan menerima balasan keseksaan yang amat dahsyat di dunia lagi, terutama ketika hampir melaikat maut mencabut nyawa mereka. Setelah meninggal, mereka ini akan melalui alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat; sudah tentu akan menempuhi pembalasan merupakan azab yang amat pedih.

Namun begitu, masih ada lagi anak-anak di masa kini terus tidak pernah belajar, tidak ambil pusing, tidak jadikan iktibar dan tidak pernah punya keinsafan dalam diri mereka daripada berbilang cerita, drama dan peristiwa yang berakhir dengan penuh tragik dan jijk. Setitik susu ibu yang masuk ke dalam perut kita dan menjadi darah daging kita tidak akan sama nilainya dengan semua harta benda yang kita kumpulkan sepanjang hayat.

Abu Hurairah meriwayatkan; bahwa Rasulullah saw. bersabda, “Angin syurga akan dihembuskan dari jarak lima ratus tahun dan tidaklah akan mencium bau syurga itu orang yang suka menyebut-nyebut amal perbuatannya, orang yang derhaka (kepada ibubapanya), dan orang yang ketageh arak”

Penderhakaan kepada ibubapa ini terus berlaku walaupun si penderhaka sudah berumah tangga dan punya anak-anak sendiri. Mereka harus sedar, sejarah berulang; lihatlah nanti akan ada di antara anak-anak mereka mengikuti jejak perilakunya dan melanggar ketaatan dengan kelakuan yang berganda jahatnya.

Berlakunya penderhakaan kepada ibubapa ini berpunca dari beberapa perkara, di antaranya:

• Tidak memberikan nafkah kepada orang tua bila mereka memerlukankan.
• Tidak melayani mereka dan berpaling darinya. Lebih derhaka lagi bila menyuruh orang tua melayani dirinya.
• Mengumpat kedua orang tuanya di depan orang banyak dan menyebut-nyebut kekurangannya.
• Mencaci dan melaknat kedua orang tuanya.
• Menajamkan tatapan mata kepada kedua orang tua ketika marah atau kesal kepada mereka berdua kerana suatu hal.
• Membuat kedua orang tua bersedih dengan melakukan sesuatu hal, meskipun si anak berhak untuk melakukannya. Tapi ingat, hak kedua orang tua atas diri si anak lebih besar daripada hak si anak.
• Malu mengakui kedua orang tuanya di hadapan orang banyak karena keadaan kedua orang tuanya yang miskin, berpenampilan kampungan, tidak berilmu, cacat, atau alasan lainnya.
• Enggan berdiri untuk menghormati orang tua dan mencium tangannya.
• Duduk mendahului orang tuanya dan berbicara tanpa meminta izin saat memimpin majlis di mana orang tuanya hadir di majlis itu. Ini sikap sombong dan takabur yang membuat orang tua terlecehkan dan marah.
• Mengatakan “ah” kepada orang tua dan mengeraskan suara di hadapan mereka ketika berselisih.
• Paling menyedihkan, dipengaruhi oleh pihak lain, umpamanya; suami atau isteri, bomoh, individu-individu tertentu, ajaran sesat dan orang-orang yang punya kepentingan hatta ahli keluarga sendiri.

Ada kalanya penderhaka kepada ibubapa ini menambah lagi perbuatan dosanya dengan menuduh ibubapa mereka sendiri jahat, membela pelesit, hantu raya, polong dan sebagainya. Sekiranya anak-anak kecil mereka asyik menangis, mereka mengatakan ibubapa merekalah yang menghantar belaannya mengganggu anak-anak itu. Tidak cukup dengan itu, mereka sanggup menuduh ahli keluarga lain yang rapat dengan orang tuanya melakukan berbagai perkara jahat bagi menghuruharakan keluarganya. Sebenarnya mereka tidak sedar bahawa penderhakaannya itulah yang menjadi penyebab dan telah bermula di dunia lagi; di akhirat akan berganda-gandalah ‘azabnya.

Diriwayatkan dari Abu Bakrah r.a. dari Nabi saw. bahwa beliau bersabda, “Setiap dosa akan Allah tangguhkan (hukumannya) sesuai dengan kehendak-Nya, kecuali (dosa kerana) derhaka kepada ibubapa. Sesungguhnya Allah swt. akan menyegerakan hukuman perbuatan itu kepada pelakunya di dunia ini sebelum ia meninggal.”

Dari Ibnu ‘Umar r.a.; Rasulullah saw. bersabda, “Ada tiga jenis orang yang tidak akan dilihat Allah pada hari Kiamat: orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang ketagehan arak, dan orang yang suka menyebut-nyebut pemberiannya.”

Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bahwa dia berkata, Rasulullah bersabda, “Di antara dosa yang paling besar adalah (apabila) seorang anak melaknat kedua orang tuanya.” Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin seorang anak melaknat kedua orang tuannya?” Rasulullah saw. menjawab, “(Apabila) anak mencaci ayah orang lain, maka berarti dia mencaci ayahnya (sendiri), dan dia mencaci ibu orang lain, maka berarti dia telah mencaci ibunya (sendiri).”

Dari ‘Aisyah r.a. bahwa dia berkata, “Rasulullah saw. bersabda, ‘Tidaklah dianggap berbakti kepada ayah jika seseorang menajamkan pandangan (matanya) kepada ayahnya itu karena ia marah (kepadanya).’”

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar r.a., dari Nabi saw. bersabda beliau bersabda, “Sesungguhnya Allah swt. tidak menyukai perbuatan derhaka (kepada kedua orang tua).”

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. ~ al Isra’ 23 – 24

Perbuatan derhaka kepada ibubapa adalah mematahkan ketaatan kepada keduanya, memutuskan tali hubungan yang terjalin antara orang tua dengan anaknya, meninggalkan sesuatu yang disukai keduanya, dan tidak mentaati apa yang diperintahkan atau diminta oleh mereka berdua selagi tidak melanggar syari’at Allah.

Sebesar apa pun ibadah yang dilakukan oleh seseorang hamba, itu semua tidak akan mendatangkan faedah baginya jika masih diiringi perbuatan derhaka kepada kedua orang tuanya. Sebab, Allah swt. menggantung semua ibadah itu sampai kedua orang tuanya redha dan mema’afkan mereka.

Bukhari-Muslim meriwayatkan dari Abu Bakrah, dari bapanya bahwa dia berkata, “Rasulullah saw. bersabda, ‘Mahukah kamu jika aku beritahukan tentang dosa yang paling besar?’ Baginda menyebutkan ini sebanyak tiga kali. Kami menjawab, ‘Mahu, ya Rasulullah.’ Rasulullah saw. menjawab, ‘Menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibubapa.’ Ketika itu baginda sedang bersandar, kemudian baginda duduk, lalu bersabda, ‘Ketahuilah, (juga) kata-kata palsu dan kesaksian palsu. Ketahuilah, (juga) kata-kata palsu dan kesaksian palsu.’ Baginda terus mengatakan hal itu sampai aku berkata, baginda hampir saja tidak diam.”

Satu benda yang sangat tinggi nilainya dan tiada harga yang boleh ditawarkan untuk membayarnya, ianya ubat penawar yang paling mujarab; ianya juga racun paling berbisa tiada doktor,tabib dan bomoh di dunia dapat menyembuhnya ialah HATI IBUBAPA bila tersentuh!!! Senjata paling canggih di dunia ialah doa ibubapa. Doa mereka sentiasa dimaqbulkan oleh Allah. Pun begitu, kasih sayang ibubapa tetap tebal terhadap anak-anaknya, tinggal lagi anak-anaknya saja yang kerap mengabaikan kasih sayang mereka terhadap orang tuanya.

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar r.a., dari Nabi saw. bahwa beliau bersabda, “Keredhaan Allah itu ada pada keredhaan ibubapa, dan kemurkaan-Nya ada pada kemarahan ibubapa.”

Hayati secebis kisah rasullah dengan putrinya Fatimah:

“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih mirip dengan nabi S.A.W dalam berbicara mahu pun duduk selain daripada Fatimah, biasanya nabi S.A.W apabila melihat Fatimah datang, baginda akan mengucapkan selamat datang kepadanya, lalu berdiri menyambut dan mencuimnya, kemudian baginda akan menggapai tangannya dan membimbingnya hingga baginda dudukkan Fatimah di tempat duduknya. Demikian pula jika rasilullah S.A.W datang kepada Fatimah, maka Fatimah mengucapkan selamat datang kepada baginda, kemudian berdiri menyambut baginda, menggamit tangan baginda, lalu mencuim baginda”. ~ hadith diriwayatkan oleh Imam Tarmizi.

Saya percaya kita juga mampu ikut seprtimana rasulullah, kalau tidak dapat semuanya, usahalah beberapa kali sehingga jadi satu kebiasaan, insya’Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredhan), maka sesungguhnya ia membuat redha Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah” (Hadis riyawat Imam Bukhari )

Rasulullah seterusnya bersabda yang bermaksud: “Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (Riwayat Nasa'i, Bazzar dan al-Hakim).

Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Kita tidak akan lahir di dunia ini tanpa mereka. Doakan mereka setiap kali selepas solat samada ibubapa kita masih hidup atau telah kembali. Sekiranya mereka masih hidup, layanlah mereka dengan sebaik mungkin, berusaha sedaya upaya agar mereka sentiasa dalam keadaan gembira dan selesa. Jika sudah meninggal, selalulah menziarahi tanah perkuburan dan mendoakan kesejahteraannya di alam sana. Lakukanlah apa-apa saja kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala itu.

Rasulullah pernah berpesan: “Khabarkan berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibu bapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.”

Kepada mereka yang telah terlanjur atau pun sengaja memutuskan hubungan dengan ibubapa dan menderhaka, insafilah dan kembali ke pangkal jalan. Bila hati ibubapa telah tersentuh, kita perlu memohon kemaafan daripada mereka dengan cara yang penuh hikmah. Pilih hari yang tertentu, umpamanya hari raya ‘aidlfitri. Bangun awal pagi sebelum subuh, solat sunat taubat, solat hajat dan sebagainya berdoa mohon keampunan darpada Allah, beristighfar sebanyak mungkin, mudah-mudahan ibubapa dapat menerima kita nanti. Kemudian solat subuh, jika berkeluarga, solat berjama’ah, bertakbir dan berdoa. Selepas itu pergilah kerumah ibubapa kita dengan penuh yakin, memberi salam, bersalam, mencium tangan dan memeluk mereka, insya’Allah mereka akan menerima kita kembali.

Pada sa’at ini, saya percaya, sesiapa saja tidak dapat menahan rasa terharu yang amat sangat. Bila hati ibubapa telah tersentuh, kita perlu sentuh mereka dengan fizikal, emosi dan kata-kata yang baik untuk mereka; “Ma’afkan saya ibu / ayah, saya sayangkan ibu / ayah”. Saya banyak berdosa dengan ibu / ayah”. Peluk irat dan bisik di telinganya. Subhanallah, suasana pada pagi ‘aidilfitri akan menjadi penuh makna dengan diiringi takbir; Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. La ilaha ilallahuwallah hu akbar. Allahuakbar walillahil hamd. Kemudian pergilah ke mesjid bersama bagi menyempurnakan solat sunat ‘aidilftri.

Sekiranya ini tidak dapat laksanakan, bermakna, penderhakaan kepada ibubapa akan berterusan. Apabila ibubapa kita kembali kerahmatullah tanpa kita sempat memohan daripada mereka dan mereka tidak memaafkan kita, penyesalan yang hebat akan ditanggung dan menghantui kita hingga ke akhir hayat. Janganlah berdegil, kelak ayat ini singgah di kepala kita:
“Allah materaikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat pedih”. ~surah al Baqarah: ayat 7

Wallahu’alam.