Perang Kubang Labu II
Perang Kubang Labu II telah berlaku sekitar tahun 1762. Peperangan ini amat penting dalam sejarah negeri Kelantan kerana menjadi punca kepada perpindahan semula takhta kerajaan Kelantan kepada Long Yunus iaitu orang yang berhak mewarisi takhta tersebut. Peperangan ini terjadi akibat kezaliman yang dilakukan oleh Long Muhammad. Serangan terhadap Kota Kubang Labu pada kali kedua ini juga turut diketuai oleh Long Gaffar. Peperangan ini berkesudahan dengan kematian Long Muhammad. Kezaliman yang dilakukan oleh Long Muhammad ini akhirnya telah menyebabkan Long Yunus bersama-sama Long Gaffar bertindak pulang daripada Kuala Terengganu terus ke Kota Bharu.
Sebaik sahaja mendengar aduan penduduk Jembal dan Sening, maka Long Gaffar amat marah kerana Long Muhammad telah memungkiri janji dan amanah yang telah dipersetujuinya dahulu sebelum dilantik menjadi raja. Setelah berbincang dengan Long Yunus, mereka bersetuju untuk menyerang Kota Kubang Labu sekali lagi. Mereka kemudiannya telah datang mengadap baginda Yang Dipertuan Terengganu [Sultan Mansur I] bagi menjelaskan keadaan sebenar di Kelantan seterusnya memohon izin untuk pulang selain juga memohon bantuan. Baginda Yang Dipertuan Terengganu akhirnya telah bersetuju dengan permohonan mereka lalu telah mengurniakan bantuan yang terdiri daripada beberapa orang panglima, hulubalang dan pahlawan Terengganu untuk membantu angkatan perang Long Gaffar dan Long Yunus.
Angkatan perang Long Gaffar dan Long Yunus kemudiannya mula bertolak ke Kelantan. Apabila sampai di Pasir Puteh, Long Gaffar dan Long Yunus mula berpecah menuju ke haluan masing-masing. Long Gaffar telah menuju ke Jeram bagi mengumpulkan pengikut-pengikutnya di sana. Long Yunus terus bergerak ke Kota Bharu dan ketika melalui Peringat, Penghulu Adas pula telah menuju ke Kampung Kadok untuk mengumpulkan anak-anak buahnya. Angkatan perang Long Gaffar dan Penghulu Adas kemudiannya telah berkumpul di rumah Mandor Misa yang terletak di Kubang Garong. Di sana, Long Yunus dan Long Gaffar telah membincangkan strategi dan taktik yang akan digunakan untuk menyerang Kota Kubang Labu.
Rancangan untuk menyerang Kota Kubang Labu akhirnya telah disedari oleh Long Muhammad. Baginda kemudiannya telah menyusun strategi pertahanan dan mengarahkan pahlawan dan hulubalang baginda agar bersiap sedia untuk berdepan dengan serangan pihak musuh. Long Muhammad juga telah menghantar utusan kepada Long Deraman bagi memohon bantuan ketenteraan, Long Deraman kemudiannya telah berangkat ke Kota Kubang Labu bersama-sama angkatan tentera baginda untuk bergabung dengan angkatan pertahanan Long Muhammad di Kota Kubang Labu.
Setelah tiba waktu yang dijanjikan, maka Long Gaffar bersama-sama angkatan tenteranya telah bertolak ke Pengkalan Lisir manakala angkatan tentera Long Yunus telah bertolak ke Pengkalan Gong Chipa. Angkatan tentera Penghulu Adas dan Mandor Misa telah berangkat menuju ke Pengkalan Kebun. Ketika waktu subuh, angkatan perang Long Gaffar telah mendarat di Pengkalan Kutan. Angkatan perang Long Yunus telah mendarat di Pasir Pekan manakala angkatan perang Penghulu Adas dan Mandor Misa pula telah menyeberangi Sungai Kelantan dan mendarat di Pasir Pekan menjelang waktu pagi.
Angkatan perang Long Gaffar kemudiannya telah ditentang oleh pertahanan Kota Kubang Labu yang dipimpin oleh Long Muhammad sendiri manakala angkatan perang Long Yunus berhadapan dengan barisan pertahanan Kota Kubang Labu yang dipimpin oleh Long Deraman. Angkatan perang Penghulu Adas dan Mador Misa pula telah ditentang oleh barisan pertahanan yang dipimpin oleh Panglima Umar Kampung Laut.
Pertempuran yang hebat telah tercetus antara kedua-dua belah pihak. Namun begitu, angkatan perang pimpinan Long Yunus akhirnya berjaya melemahkan barisan pertahanan Kota Kubang Labu pimpinan Long Deraman sehingga menyebabkan mereka terpaksa berundur hingga menghampiri pintu Kota Kubang Labu. Akhirnya, berlakulah pertempuran sengit antara Long Yunus dan Long Deraman. Namun begitu, Long Yunus akhirnya berjaya mencederakan Long Deraman setelah berjaya melontarkan lembingnya terus ke rusuk kiri Long Deraman. Walaupun berjaya dibawa lari oleh hulubalangnya ke Kampung Laut seterusnya ke Siam untuk mengubati lukanya, namun Long Deraman tidak juga dapat diselamatkan lalu di bawa ke Kelantan dan terus mangkat. Jenazahnya kemudiannya telah dimakamkan di Gong Chipa.
Angkatan perang pimpinan Penghulu Adas dan Mandor Misa pula telah menyerang pertahanan Kota Kubang Labu dari sebelah utara. Angkatan perang pimpinan Long Gaffar telah menyerang barisan pertahanan Kota Kubang Labu pimpinan Long Muhammad dari sebelah selatan manakala angkatan perang Long Yunus pula telah menyerang dari arah timur. Setelah melancarkan serangan yang bertubi-tubi selama beberapa hari dari tiga penjuru, akhirnya Long Muhammad telah mangkat setelah ditikam oleh Long Gaffar sekaligus telah memberikan kemenangan kepada pihak Long Yunus dan Long Gaffar. Setelah dicadangkan oleh Long Gaffar dan dipersetujui oleh pembesar-pembesar Kota Kubang Labu, Long Yunus kemudiannya telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan menggantikan Long Muhammad pada tahun 1762.
Nota:
Long Gaffar seorang setiakawan yang luhur,
sentiasa mendahulukan sahabat-sahabatnya