to date

Free JavaScripts provided
by The JavaScript Source

KUBANG LABU I

Perang Kubang Labu I

Terdapat beberapa versi berbeza, ini satu daripadanya...

Peristiwa ini bermula dengan kedatangan Long Gaffar, anak raja Reman yang terletak di perbatasan negeri Perak dan Pattani untuk melawat sepupunya iaitu isteri Long Pandak [Raja Kelantan] yang bernama Engku Tengah [Neng Mas] ataupun dikenali juga sebagai Engku Pasir Mas. Ketibaan Long Gaffar pula telah disambut dengan meriah oleh Long Pandak dan baginda telah mengadakan sebuah jamuan yang besar di istana Kota Kubang Labu. Keesokan harinya, Long Gaffar yang ditemani oleh Long Yunus telah berangkat ke Kampung Garong yang terletak di antara Sungai Pinang dan Kampung Laut untuk menginap di rumah Tuan Mah, bonda sepupu kepada Long Yunus.

Ketika Long Gaffar berada di istana Kota Kubang Labu, maka isteri Long Pandak iaitu Engku Pasir Mas amat tertarik melihat corak kain cindai yang dipakai oleh Long Gaffar sebagai bengkung. Lalu timbul keinginan di hatinya untuk menenun kain seperti corak tersebut agar dapat dipakai oleh suaminya iaitu Long Pandak. Engku Pasir Mas kemudiannya telah memerintahkan dayangnya bernama Cik Wok supaya pergi mengadap Long Gaffar di Kampung Gerung bagi menyatakan hasrat Engku Pasir Mas agar dapat meminjam kain cindai tersebut untuk dibuat contoh. Hasrat Engku Pasir Mas itu kemudiannya telah dipenuhi oleh Long Gaffar. Setelah lawatan selesai, Long Gaffar pun pulang semula ke Reman.

Setelah mendapat contoh kain cindai tersebut, maka tidak berapa lama kemudian Engku Pasir Mas pun mula menenun kain cindai untuk suaminya berdasarkan contoh kain cindai yang dipinjam daripada sepupunya, Long Gaffar. Setelah siap menenunnya, maka Engku pasir Mas pun menggantungkan kain tersebut pada “Kil” (alat tenunan) lalu meninggalkan contoh kain cindai Long Gaffar di situ. Setelah tiba waktu maghrib, maka Long Pandak masuk ke dalam istana lalu terpandang kain cindai Long Gaffar yang masih tersangkut di “Kil” isterinya. Setelah melihat kain cindai tersebut, maka perasaan cemburu yang membuak-buak mula menguasai Long Pandak. Tanpa membuat usul periksa, Long Pandak terus menyesaki bahawa isterinya telah melakukan hubungan sulit dengan Long Gaffar lalu segera mencabut keris di pinggangnya dan terus menikam Engku Pasir Mas dari rusuk kiri menembusi rusuk kanan. Maka mangkatlah Engku Pasir Mas dengan serta merta akibat tikaman yang sungguh ngeri itu.

Mayat Engku Pasir Mas kemudiannya telah diletakkan di atas belakang seekor gajah bernama “Ning Mala” iaitu gajah kurniaan Long Deraman kepada Long Pandak. Mayat tersebut kemudiannya diikat dengan kain cindai Long Gaffar yang telah dibelah dua. Long Pandak kemudiannya memerintahkan gembala gajah tersebut membawa mayat Engku Pasir Mas pergi mengadap Long Deraman di negeri Bukit Jarum Legeh. Sebaik sahaja gajah yang membawa mayat Engku Pasir Mas tiba di pintu kota Bukit Jarum Legeh, maka terkejutlah Long Deraman melihat mayat adiknya Engku Pasir Mas yang berlumuran darah dan terbujur kaku di atas belakang gajah tersebut. Sebaik sahaja melihat kepada kain cindai yang telah dibelah dua dan digunakan untuk mengikat mayat adiknya, maka tahulah Long Deraman pembunuhan adiknya itu ada kaitan dengan kain cindai tersebut.

Setelah mayat adiknya iaitu Engku Pasir Mas dimakamkan mengikut adat istiadat diraja, maka Long Deraman telah menghantar utusan kepada Long Gaffar di Reman agar segara datang mengadap baginda. Long Gaffar kemudiannya telah segera datang ke kota Bukit Jarum Legeh bersama-sama hulubalang-hulubalang serta pahlawan-pahlawan baginda kerana menyangkakan bahawa kota Bukit Jarum Legeh sedang berdepan dengan ancaman musuh. Setibanya di istana, maka Long Deraman pun menceritakan perihal kecelakaan yang menimpa adindanya sehingga membawa kepada kemangkatannya serta perkaitan antara kain cindai yang diikat pada mayat adindanya dengan pembunuhan Engku Pasir Mas. Lalu fahamlah Long Gaffar bahawa kematian Engku Pasir Mas terjadi disebabkan cemburu buta Long Pandak. Sebaik sahaja mengetahui perkara sebenar yang menimpa Engku Pasir Mas, maka timbullah perasaan marah yang meluap-luap dalam diri Long Gaffar. Long Gaffar kemudiannya telah meminta izin Long Deraman untuk memimpin satu angkatan tentera bagi menuntut bela atas kemangkatan Engku Pasir Mas yang tidak berdosa itu. Permintaan Long Gaffar kemudiannya telah diperkenankan oleh Long Deraman lalu baginda mengarahkan pasukan tenteranya agar bersiap-sedia untuk melancarkan serangan ke atas Kota Kubang Labu bagi menuntut bela atas kematian Engku Pasir Mas.

Di istana Kota Kubang Labu pula, Long Pandak sudah menduga bahawa angkatan tentera Long Deraman pasti akan menyerang Kota Kubang Labu untuk menuntut bela atas kemangkatan Engku Pasir Mas. Oleh yang demikian, baginda segera mengarahkan pahlawan dan hulubalangnya agar bersiap sedia untuk menghadapi serangan angkatan tentera Long Deraman.

Angkatan tentera yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan dan hulubalang-hulubalang Legeh dan Reman pimpinan Long Gaffar akhirnya bertolak dari Bukit Jarum Legeh menuju ke Kota Kubang Labu. Setibanya di Kampung Tendong, maka angkatan tentera Long Gaffar telah bertembung dengan angkatan pertahanan Kota Kubang Labu. lalu terjadilah satu pertempuran yang sungguh dahsyat antara kedua-dua belah pihak yang telah mengorbankan banyak nyawa. Namun begitu, serangan angkatan Long Gaffar yang lebih kuat dan hebat telah memaksa angkatan pertahanan Kota Kubang Labu untuk berundur sambil mempertahankan serangan angkatan Long Gaffar. Serangan bertubi-tubi yang dilancarkan oleh angkatan Long Gaffar akhirnya membolehkan mereka mara hingga ke pintu Kota Kubang Labu. Long Gaffar tanpa membuang masa terus masuk ke dalam kota lalu naik ke balai istana. Di sana, baginda telah bertembung dengan Long Pandak yang sedang berdiri dan bersiap sedia dengan keris yang terhunus untuk bertarung dengan Long Gaffar. Apabila kedua-duanya mula bertentangan mata, maka Long Pandak mula mencabar Long Gaffar:

“..Kalau kamu mandi di kolam, sangkut kainmu di batang nipah, sedangkan harimau mati kutikam, inikan pula Gaffar bedebah…”

Long Gaffar pun menjawab cabaran Long Pandak dengan tenang:

“…Sungguh aku mandi di kolam, kaki Gaffar atas permaidani, sungguh harimau mati kau tikam, tetapi Gaffar bertulang Khurasani…”

Sebaik sahaja selesai mencabar Long Gaffar, maka Long Pandak pun mula menyerang Long Gaffar dengan tikaman yang bertubi-tubi namun berjaya dielak oleh Long Gaffar dengan lompatan yang lincah, ke kanan dan ke kiri sehingga menyebabkan Long Pandak termengah-mengah kepenatan. Kesempatan tersebut telah digunakan sepenuhnya oleh Long Gaffar untuk melancarkan tikaman ke bahagian kiri perut Long Pandak hingga tembus ke kanan. Akibatnya, Long Pandak terus rebah serta-merta di atas balai istananya akibat tikaman tersebut.
Setelah kemangkatan Long Pandak, maka Long Gaffar telah melantik adinda Long Pandak iaitu Long Muhammad sebagai pemerintah Kota Kubang Labu yang baru. Perlantikan baginda kemudiannya telah mendapat persetujuan pembesar-pembesar negeri. Long Muhammad kemudiannya ditabalkan sebagai raja Kelantan yang baru menggantikan Long Pandak. Setelah selesai upacara perlantikan tersebut, maka mayat Long Pandak pun dimakamkan di Gong Chipa yang terletak di Kampung Langgar, Kota Bharu pada hari ini.