Takbur, Hasad dan Riak
Penyakit Tiga Serangkai ini menurut Rasulullah SAW, akan menghancurkan amalan seseorang iaitu:
1. Takbur atau sombong.
Imam al-Ghazali dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' berkata, takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya. Sedikit saja di hati ada sikap takbur, maka syurga akan menjauh, amalan tidak mempunyai erti.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sikap takbur walaupun sebesar debu.” (Hadis riwayat Muslim)
2. Hasad atau iri hati (dengki). Ciri khas seorang pendengki adalah adanya rasa tidak rela melihat orang lain mendapat nikmat dan sangat berharap nikmat itu segera lenyap daripadanya. Ia susah melihat orang lain senang dan senang melihat orang lain susah. Dengki sangat berkesan menghancurkan kebaikan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dengki itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
3. Riak atau beramal kerana mengharap pujian orang lain. Riak adalah tingkatan terendah daripada amalan. Rasulullah SAW menyebutnya syirik kecil yang juga boleh menghapuskan kebaikan.
Allah tidak akan menerima suatu amalan yang dalamnya ada seberat debu saja perasaan riak. Hadis qudsi mengungkapkan bagaimana murkanya Allah kepada orang yang riak dalam amalannya.
Pada hari kiamat Allah berfirman, ketika semua manusia melihat catatan amalannya, “Pergilah kamu semua kepada apa yang kamu jadikan harapan (riak) di dunia. Lihatlah apakah kamu semua memperoleh balasan daripada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Firman Allah yang bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat (iaitu) orang yang lalai dari solatnya dan orang berbuat riak.” (Surah al-Maa'um, ayat 4 - 6)
"Siapa beramal kerana sumah (ingin didengari manusia) Allah akan membalasnya dengan diperdengarkan kejelekannya. Siapa berbuat riak, maka Allah akan menampakkan sifat riaknya itu (di depan makhluk)." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.
Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
ISLAM sentiasa menyeru umatnya supaya sentiasa beramal atau melakukan perkara kebaikan dengan penuh ikhlas dan mengharapkan reda Allah. Dalam melaksanakan sesuatu amal kebajikan umat Islam sepatutnya menyedari bahawa sifat malu hanya ditujukan kepada Allah. Ini kerana segala isi hati atau niat setiap hamba-Nya hanya diketahui oleh Allah. Sementara manusia pula hanya dapat mengetahui, menilai dan melihat dari segi lahiriah semata-mata.
Ada umat Islam yang melakukan sesuatu perbuatan atau amalan kebajikan terutama dalam beribadat hanya untuk mengaburi mata manusia semata-mata sesuai dengan pangkat dan kedudukannya. Dengan perlakuan itu dirinya dianggap baik, warak, kuat iman dan rajin beribadat.
Ia seolah-olah mereka hanya mengharapkan keredaan manusia dan melupakan kebesaran Allah. Sesungguhnya seseorang yang beramal dan mengerjakan sesuatu yang baik semata-mata untuk dihargai dan dipuji orang lain termasuk perbuatan orang munafik. Ia disebut riak' atau pura-pura.
Riak adalah salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dalam Islam serta boleh membinasakan martabat dan kemuliaan seseorang insan. Orang yang bersifat riak tergolong dalam orang munafik. Ini kerana adanya persamaan iaitu dalam sifat berpura-pura, kerana orang yang munafik juga mempunyai sifat kepura-puraan.
Perbuatan riak juga tergolong dalam syirik kecil yang boleh merosakkan dan menghapuskan amal kebajikan serta melunturkan kemurnian akhlak. Selain itu ia akan mendapat kerugian hidup di dunia dan akhirat, seterusnya mengundang laknat Allah.
Islam memandang perbuatan riak sebagai suatu wabak atau penyakit rohani yang cukup bahaya. Ia juga mengancam kemurnian akidah dan iman serta merosakkan nilai keikhlasan hati, keluhuran akhlak dan sebagainya.
Secara ringkasnya, riak ialah suatu perbuatan yang tersembunyi di dalam hati, perasaan dan peribadi seseorang dengan niat dan tujuan tertentu. Orang yang gemar mengamalkan riak, hidup dan jiwanya penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata. Ini kerana ia bertujuan untuk mengharapkan pujian, sanjungan dan penghormatan daripada orang lain.
Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud : "Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Meminta Simpati Hadis no. 6018).
Seseorang yang riak juga selalu mengikut hawa nafsu. Biasanya nafsu banyak menggoda dan mempengaruhi perasaan dan jiwa manusia untuk melakukan sesuatu kejahatan.
Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah." (Surah Sad, ayat 26).
Manusia pada hakikatnya adalah makhluk Allah yang tidak layak untuk melahirkan perasaan bangga diri, megah dan takbur. Allah mengancam dan memberi amaran keras terhadap hamba-Nya yang melakukan riak dalam kehidupannya.
Allah mengutuk dan melaknat orang yang melakukan ibadat yang disertakan dengan sifat riak. Selain menghapuskan segala amal kebajikan, sifat riak akan menghalang seseorang daripada mendapat rahmat Allah di dunia dan akhirat.
Orang yang bersifat riak juga akan mendapat banyak kerugian baik di dunia mahupun di akhirat. Mereka tidak akan mendapat pahala amalan kebajikan. Ini kerana amalan mereka akan menjadi sia-sia seperti debu yang berterbangan dan tidak akan dapat merasai nikmat syurga di akhirat nanti.
Allah berfirman bermaksud : "Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan." (Surah al-Furqan, ayat 23).
Jelaslah pengaruh dan kesan riak itu boleh merosakkan keikhlasan amal ibadat dan kemuliaan akhlak seseorang serta akan mendatangkan kemurkaan Allah. Justeru, sebagai orang beriman, kita sepatutnya sentiasa memperbaiki niat dan tekad dalam melakukan sesuatu amal kebajikan supaya tidak menjadi sia-sia dan memperoleh keredaan daripada Allah.
Empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia
1. Nafsu Ammarah.
Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada pada peringkat ini tidak merasakan perbezaan di antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, dia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan, dia tidak gembira.
2. Nafsu Lawwamah.
Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang positif.
3. Nafsu Mulhamah.
Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasakan keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
4. Nafsu Mutmainnah.
Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.
Ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga peringkat tabiat manusia.
a. Manusia yang baik tabiatnya.
Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi manusia yang jahat.
b. Manusia yang jahat tabiatnya.
Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya sudah jahat.
c. Manusia yang berada di pertengahan tabiatnya.
Golongan ini boleh berubah menjadi baik atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.
Renungan:
1. Senyuman itu sebagai satu tanda kemesraan yang kita berikan kepada orang lain. Ianya dianggap sebagai satu sedekah yang paling mudah. Banyak ketawa pula adalah lambang kepada kelalaian. Jika ianya selalu dilakukan hati akan mati. Jika ia selalu dilakukan di hadapan manusia lain ia akan menghilangkan maruah diri sendiri.
2. Setiap kesalahan yang telah kita lakukan jadikanlah ia sebagai satu pengajaran. Kita hendaklah menginsafi segala kesalahan yang telah dilakukan sebagai tanda kelemahan diri. Seterusnya kita perlulah berazam agar tidak mengulangi lagi kesalahan yang telah dilakukan.
3. Hendaklah kita selalu bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Nikmat yang dikurniakan amat banyak kepada kita. Dan kita hendaklah bersabar di atas segala ujian yang diberikan. Walaupun ianya amat mudah diucapkan dengan kata-kata tetapi rasa sulit dilaksanakan.
4. Kesenangan dan kemewahan selalunya akan membawa kepada kesombongan dan kelalaian kepada seseorang. Kesusahan dan penderitaan itu pula selalunya akan membawa kekecewaan dan putus asa, kecuali orang-orang yang beriman.
5. Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan orang, suka bertelagah dan bertegang leher, nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara, pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahan.
6. Orang yang sudah hilang sifat sabar akan mudah dan cepat melahirkan sifat marah. Orang yang ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.
7. Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu, merasa diri kita itu hamba itu penghayatan, yang kedua inilah akan lahir sifat tawaduk, malu, khusyuk, takut, hina dan lain-lain lagi sifat kehambaan kepadaNya.
8. Jika kita mengingati dosa, kita tidak akan nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan. Mengingati dosa-dosa akan menyebabkan kita sedar yang kita terlalu banyak melakukan kesalahan dari kebaikan.
9. Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu adalah haknya iaitu hak kita sesama manusia tapi janganlah sampai putus hati kita dengan ALLAH, ini adalah hakNYA pula.
10. Apabila kita merasa senang dengan pujian yang orang lain berikan, rasa sakit dengan kehinaan keatas diri. Ia menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas dalam membuat sesuatu kebaikan.
Ikhlas
Mengaku ikhlas belum tentu ikhlas kerana lidah manusia boleh berpura-pura bermain kata-kata. Ikhlas ialah kerja hati yang siapa pun tidak mengetahuinya kecuali ampunya diri, sedangkan dia masih boleh menzahirkan sebaliknya.
Oleh sebab itu, tiada hak bagi seseorang menuduh seseorang yang lain sebagai tidak ikhlas. Adalah satu kesalahan seseorang Muslim menuduh orang Muslim yang lain dengan yang negatif. Hal ini kerana seseorang tidak mampu mengetahui apa yang terkandung dalam hati seseorang. Hanya Allah dan orang yang berkenaan sahaja yang mengetahui niat di hatinya.
Sebenarnya ikhlas ialah rahsia hati seseorang tatkala melaksanakan sesuatu pekerjaan. Ikhlas pada bahasa bererti bersih, maka orang yang ikhlas, hatinya bersih daripada sifat riak. Tindakannya tidak mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain, sebalik dilakukannya hanya kerana perintah Allah.
Bagaimana Untuk Ikhlas
Persoalan sekarang bagaimana hendak menjadikan seseorang itu ikhlas. Bagaimana menjadinya ikhlas dalam mengamalkan agama, ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah, ikhlas dalam pergaulan dengan manusia, dan ikhlas dalam melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya.
Sebenarnya orang yang ikhlas sama ada berhadapan dengan Allah atau manusia ketika melakukan sesuatu amalan atau kerja, tidak mengharapkan balasan dan sanjungan. Namun dia percaya perbuatannya pasti dinilai oleh Allah sebaiknya. Apa yang penting di sisinya ialah amalannya diterima oleh Allah s.w.t.
Lazimnya orang yang ikhlas takut untuk menyatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah ikhlas. Padanya biarlah pemberian tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kiri. Walau bagaimanapun kadang-kadang tindak tanduknya perlu juga diberitahu kepada orang ramai tentang keikhlasan hatinya.
Perhatikan dua contoh berikut; seorang kaya hendak memberi sumbangan kepada jirannya yang miskin, diserahkan kepadanya tatkala orang lain tidak nampak. Dia memberi semata-mata untuk menolongnya kerana seruan Allah.
Dalam kes yang lain, sesebuah syarikat hendak mendermakan kepada sesuatu badan kebajikan, perlu diisytiharkan kepada orang awam. Pemberian itu adalah ikhlas untuk membantu mengurangkan beban badan kebajikan itu. Pada masa yang sama pemberian itu boleh memberi rangsangan kepada orang kaya lain supaya turut berderma.
Pemberian orang kaya dan syarikat itu tidak boleh dituduh sebagai tidak ikhlas atau riak kerana tidak siapa pun yang mengetahui niat hati pihak berkenaan. Tuduhan orang lain dalam hal ini adalah salah dan berdosa kerana dia seolah-olah mendahului Allah dalam menghukum seseorang. Jadi, serah sahaja urusan menghukum seseorang itu sama ada ikhlas atau tidak kepada Allah. Tetapi alangkah baiknya kalau kita doakan seseorang yang memberi sesuatu sumbangan itu berhati ikhlas. Ingatlah bersangka baik terhadap seseorang itu adalah satu ibadah yang pasti besar pahalanya.
Riak Perlu Dijauhi
Siapakah yang sebenarnya termasuk dalam riak? Riak ialah sifat mazmumah yang amat keji kerana sifat itu termasuk dalam kategori syirik khafi, syirik yang tersembunyi. Riak juga sama seperti sifat ikhlas yang tidak siapa pun boleh mengesannya sama ada riak atau tidak. Menuduh seseorang itu riak adalah dosa kerana hakikat sebenarnya hanya Allah dan diri individu tersebut sahaja yang tahu.
Jadi, elaklah membuat tuduhan terhadap seseorang sebaliknya menilai seseorang itu mengikut kadar yang kita lihat secara zahir. Sebenarnya, orang yang riak dapat dilihat pada tingkah laku, ucapan dan kata-katanya. Jika seseorang itu bertindak atau menyatakan sesuatu melebihi daripada kadar biasa, kemungkinan hatinya sudah riak. Namun, berdasarkan itu pun kita tidak boleh menuduhnya riak.
Walau bagaimanapun bagi seseorang individu yang dapat mengesan dirinya sebagai riak seharusnya berusaha untuk tidak meneruskannya. Sebagai contoh, seseorang yang berjaya melakukan solat tahajjud pada malam hari, maka pada keesokannya dia cuba hendak menceritakan kepada kawan-kawannya apa yang dilakukan pada malam hari. Jika dia sedar ketelanjurannya itu, seharusnya dia bertaubat dan tidak menceritakan semua itu kepada orang lain.
Riak Tanpa Sedar
Seseorang itu juga boleh dikategorikan sebagai riak apabila dia tidak mahu melakukan kebaikan kerana takut dituduh riak. Inilah riak yang sering dilakukan tanpa sedar. Sebagai contoh, seorang bertanya kepada kawannya, “mengapa kamu tidak mahu pakai tudung” atau “bila kamu nak pakai tudung?” dengan beraninya dia berkata, “aku tidak mahu pakai lagi waktu ini kerana takut orang kata aku riak.”
Nauzubillah, ucapannya yang pendek itu sebenar sudah dinilai oleh Allah sebagai riak. Inilah yang sering kita dengar dari lidah umat Islam. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu adalah dosa, dosa riak, dan dosa syirik secara tidak sedar.
Umat Islam khususnya yang membaca artikel ini seharusnya berubah daripada terus memperoleh dosa secara tidak sedar ini. Ketahuilah dosa riak dalam bahagian ini banyak mengundang kemusnahan kepada amalan individu Muslim.
Rendah diri [tawaduk]
UMAT Islam perlu sentiasa mengemaskinikan diri dan hati ke arah kecemerlangan dari semasa ke semasa supaya akan akan menjadi insan disegani, dihormati dalam masyarakat serta dirahmati Allah.
Selain itu, perasaan ingin cemerlang melahirkan watak yang Islami seterusnya menjadi daya penarik bagi pandangan orang bukan Islam dan watak itu mampu menterjemahkan keindahan ajaran Islam.
Orang Islam yang ada keinsafan tinggi, iman teguh, akan menerima apa saja ketetapan Allah ke atas dirinya baik berbentuk kebahagiaan, mahupun berbentuk kedukaan dan mematuhi setiap hukum serta peraturan dengan penuh rela, pasrah tanpa sedikitpun melahirkan tindakan untuk menentang, memprotes atau membantah. Dalam Islam, orang begini disebut sebagai ‘tawaduk’.
Tentu sukar bagi sesetengah manusia menerima kenyataan yang ditakdirkan Allah dan mengakuri segala perintah-Nya, jika semua itu tidak bersesuaian dengan nafsu, keinginan serta cita rasa hatinya.
Namun, bagi insan yang mengakui banyak kelemahan dan diri hanya tidak lebih sekadar hamba yang hina serta tidak mempunyai apa-apa, maka sudah tentu menerima kenyataan adalah perkara mudah dan menjadi amalan sepanjang kehidupan tanpa rasa takut atau bimbang.
Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan supaya umat Islam menghiasi diri dengan sifat tawaduk. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)
Hikmah di sebalik suruhan Rasulullah SAW tadi, sifat tawaduk akan pasti melahirkan akhlak terpuji iaitu tidak akan menganiaya orang lain bahkan tersemai perasaan menyayangi saudaranya.
Tawaduk juga akan melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18)
Sesungguhnya orang yang sombong akan dihumbankan ke neraka Jahanam seperti keterangan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bersifat sombong dan tidak patuh kepada-Ku akan diazabkan di dalam neraka Jahanam dan menderita kehinaan di dalamnya.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)
Selain itu orang yang bersikap zalim (aniaya) terhadap orang lain kerana semata-mata ingin melempias sifat sombong atau menunjukkan kehebatan, maka Allah akan menyegerakan balasan di dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak suatu pun dosa yang lebih patut atau lebih berhak disegerakan hukumannya oleh Allah di dunia di samping nanti bakinya akan dikenakan lagi di akhirat, melainkan dosa berbuat aniaya (zalim) terhadap orang lain, dan memutuskan tali kekeluargaan (persaudaraan).” (Hadis riwayat at-Tarmizi)
Dalam memperelok budi pekerti dan akhlak Muslim sejati, maka adalah sangat bertepatan jika merenungi sabda Rasulullah SAW dengan penuh yakin dan keimanan yang tidak berbelah bagi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak mengurangkan harta kerana sedekah. Allah menambah kebesaran (kehebatan) seseorang yang minta maaf dan meninggikan darjat orang yang tawaduk.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis itu menyatakan ada tiga perkara sering kali diabaikan oleh orang bodoh, sombong serta tidak berfikiran jauh dan matang iaitu:
1. Bersedekah – orang yang bersedekah tidak pernah dikurangkan hartanya, bahkan ditambahkan lagi oleh nikmat-Nya bagi orang yang mahu bersyukur.
2. Minta maaf kerana bersalah – orang yang sombong menganggap minta maaf menandakan kelemahan lalu lebih baik meneruskan perkelahian daripada berdamai. Padahal, meminta maaf tandanya orang yang tawaduk dan suka kepada keharmonian hidup dalam masyarakat.
3. Menerima kenyataan kebenaran – harga diri seseorang tidak akan jadi rendah dan hina bila bertawaduk. Bagi orang yang sombong, tidak mahu menerima kebenaran yang ada pada orang lain, bahkan berasa terhina untuk mengakui dan mengiktiraf kebenaran itu. Lihat saja kelakuan Rasulullah SAW, menerima apa saja bentuk pemberian tanpa sedikitpun rasa tidak puas hati.
Apabila kita perhatikan ketiga-tiga sifat yang disebutkan itu, semuanya mencerminkan akhlak mahmudah yang sinonim dengan ajaran Islam dan selalu diamalkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sesungguhnya tawaduk bukan bermakna kita berasa diri serba kurang, tidak berharga dan kurang harta. Tawaduk sebenarnya berasa sedar, insaf bahawa diri kita berasal dari tanah yang sama kecuali amal bakti dan takwa yang membezakan.
Sumber: muslimnets